Satu kenyataan yang amat menyedihkan apabila hanya sejumlah kecil golongan ini sahaja yang mampu berdikari manakala ramai di antara mereka yang tidak mempunyai kemahiran dan terpaksa mengemis atau menjual tisu dari meja ke meja sebagai sumber rezeki.
Hakikatnya, seperti juga anda, setiap orang buta menginginkan hidup berdikari. Apa yang golongan ini harapkan adalah sedikit pemahaman, kesedaran, dan ehsan. Sesuatu yang anda mampu berikan. Ramai di antara mereka sebenarnya berkebolehan dan mampu melakukan kebaikan untuk diri mereka dan juga masyarakat amnya. Anda sebenarnya berupaya membantu mereka mencapai matlamat ini. Hanya dengan memahami keperluan mereka, dan menghulurkan sokongan dan bantuan kepada pertubuhan ini, anda bukan sahaja membantu seorang dua daripada mereka, tetapi sebaliknya membantu seluruh komuniti cacat penglihatan di negara ini.
Teruskan meneroka mengenai komuniti kami dan anda akan lebih memahami apa keperluan kritikal dan kehendak demi masa depan kami. Moga-moga anda dapat menghulurkan sedikit sokongan dan bantuan kewangan bertujuan merealisasikan wawasan ini. Atau mungkin, anda boleh menyebarkan tentang usaha PERTUBUHAN PEMBANGUNAN ORANG BUTA MALAYSIA ini kepada kalangan mereka yang cacat penglihatan. Ini mungkin menjadi tapak permulaan hubungan yang bermakna di antara anda dan kami.